Ilmu Qiraat menjadi sejarah kegemilangan keilmuan Islam yang dibanggakan serta dipelajari sehingga kini. Pihak kerajaan juga begitu prihatin dan berusaha untuk memperkasakan kebajikan dan pendidikan tahfiz di Negara kita. Namun proses pengajaran dan pembelajarannya (PdP) adalah konvensional serta tidak menarik. Natijahnya ia menyumbang kepada fenomena tidak peduli masyarakat terhadap ilmu ini.
Bacaan qiraat yang kedengaran aneh juga boleh membawa kepada kekeliruan dan perpecahan. Contohnya lafaz ‘Alayhim’ pada Surah al-Fatihah yang juga boleh dibaca dengan ‘Alayhimu’ menurut Qiraat Qalun dan Ibn Kathir serta ‘Alayhum’ menurut Qiraat Hamzah dan Ya’qub. Akhirnya isu semudah ini bagi ahli qiraat menjadi sukar bagi umat Islam, walhal mereka berada di zaman teknologi maklumat dan komunikasi yang meletakkan pengetahuan di hujung jari.
Pembelajaran online atau pembelajaran e-Learning merupakan hasil dari suatu pembelajaran yang disampaikan secara elektronik. PdP qiraat secara online sangat diperlukan pada masa ini, kerana ia memiliki pemilihan waktu dan tempat yang fleksibel. Aktiviti PdP secara online tidak wajar dipandang negatif, malahan guru dan pelajar boleh menyusun dan merancang masa mereka bersama di dalam mengikuti PdP secara terancang di alam maya. Begitu juga dunia akademik tempatan menyaksikan usaha yang dilakukan oleh pihak JAKIM bagi memastikan kewujudan kemudahan semakan kedudukan sesuatu hadis. Maka sewajarnya kedudukan sesuatu bentuk bacaan al-Quran juga di permudahkan semakannya.
Objektif pembinaan web ini adalah untuk membantu usaha pemerkasaan pendidikan Tahfiz yang dihasratkan oleh pihak kerajaan Malaysia dan membina model PdP qiraat sepuluh atas talian (online) dengan medium bahasa Melayu.
Model Pengajaran dan Pembelajaran Qiraat Sepuluh atas talian (online) dibangunkan berdasarkan kitab-kitab qiraat yang muktabar. Ianya melalui pendekatan beberapa fasa iaitu fasa analisa dilaksanakan terhadap pengguna yang bakal melayari laman web ini untuk pengajaran dan pembelajaran. Kajian umum seperti latar belakang pengguna, gaya pembelajaran, keperluan semasa pengguna dan sebagainya dilakukan sebelum proses pembinaan perancangan kandungan laman web ini diteruskan.
Seterusnya fasa rekabentuk. Objektif pembinaan laman web, strategi pengajaran yang digunakan, pendekatan yang dipilih serta menetapkan bentuk persembahan yang sesuai untuk membangunkan laman web ini.
Kemudian proses pembangunan laman web mula dijalankan. Terdapat beberapa perisian yang digunakan dalam pembangunan laman web pengajaran dan pembelajaran ini antaranya ialah Photoshop, MySQL Server, Flash dan lain-lain sebagai perisian sokongan serta Macromedia Dreamweaver sebagai tapak asas kepada pembinaan laman web ini. Semasa proses pembangunan ini, elemen seperti nota pengajaran dan pembelajaran telah dijadikan medium utama pengajaran secara online ini. Bagi memastikan segala maklumat yang mustahak dapat disampaikan sepenuhnya kepada pengguna laman web ini. Dari segi persembahan antara muka untuk keseluruhan pengajaran pula, warna latar belakang putih dan biru diaplikasikan bagi mewujudkan suasana harmoni dan tenang disamping latar depan yang berpilihan warna yang kontra seperti hitam. Unsur penataan yang ringkas serta kemas diaplikasikan pada setiap halaman pengajaran dan pembelajaran menerusi laman web ini untuk mewujudkan unsur keseragaman halaman.
Dalam peringkat perlaksanaan ini, laman web yang telah siap dibentuk dipersembahkan dan diberi peluang kepada pengguna sasaran untuk mencuba sesi pengajaran dan pembelajaran menerusi laman web. Ini bertujuan untuk mengkaji keberkesanannya agar masalah-masalah atau ralat dapat dikenalpasti untuk dilakukan proses baik pulih ke atas sebarang kekurangan. Semasa proses perlaksanaan ini, persembahan dinilai secara formal dan tidak formal bagi memastikan kesempurnaan laman web ini sebelum ia disebarkan kepada pengguna internet.
Untuk tujuan pengujian model satu simulasi telah dijalankan. Ianya disertai oleh Pakar Qiraat dan Pakar yang berkaitan online. Laman web yang dibangunkan perlu melalui satu proses penilaian bagi meminimumkan ralat kesilapan yang berlaku. Menurut Alessi dan Trollip (1991), proses penilaian melibatkan beberapa langkah seperti berikut: pertama, melihat dokumentasi dengan sekali imbas bagi memastikan maklumat penting telah dimasukkan ke dalamnya. Kedua mendapatkan maklumat tentang perisian kursus dari dokumentasi yang dilampirkan untuk disalin ke borang penilaian. Ketiga melayari dan menggunakan laman web tersebut dari mula sehingga akhir sambil meneliti ciri-ciri yang sedia ada. Seterusnya yang keempat melakukan kesilapan menaip dengan sengaja. Kelima memberikan penilaian berdasarkan penggunaan. Pada peringkat ini penilaian melibatkan beberapa aspek dan ianya dilakukan sepanjang pembangunan aplikasi, bukannya setelah aplikasi ini siap dibangunkan. Ciri-ciri penilaian seperti ini telah cuba diterapkan oleh pembangun perisian dalam menilai keberkesanan laman web sebelum ia disebarkan dan disertakan juga dengan penilaian secara tidak formal melalui sesi forum atau perbincangan yang boleh dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa.